وعن أبي هريرة عبد الرحمن بن صخر رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏

‏”‏ إن الله لا ينظر إلى أجسامكم ، ولا إلى صوركم، ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم‏”‏ ‏
(‏‏(‏رواه مسلم‏)‏‏)‏‏
Dari Abu Hurairah, iaitu Abdur Rahman bin Shakhr r.a., katanya: Rasulullah sholallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu tidak melihat kepada tubuh-tubuhmu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu sekalian.” (Riwayat Muslim)

Friday, June 18, 2010

AKU BENCI JUMUD !!

“Kenapa kau nak ajak orang kafir tu pula buka puasa?” seorang tua melenting.

Inilah berkat didikan Islam cara UMNO – laknatullah alaihim ajmain. Islam pada UMNO, hanya melibatkan melayu sahaja. Kalau orang bukan Islam mahu terlibat sama dalam program-program keagamaan orang Islam, itu dilihat seperti menyesatkan.

Pemikiran sesat ini berlaku juga kepada sebilangan orang yang mendokong gerakan Islam. Islam dengan cara jumud yang difahami ini, menyebabkan Islam tidak berkembang.

Lihatlah Saidina Omar yang memerintah. Masakan berbuka puasa, pertemuan dalam Gereja pun sanggup dihadiri oleh Saidina Omar. Diceritakan ketika kedengaran laungan azan Asar di Baitul Muqaddis, Saidina Omar yang ketika itu berada dalam gereja telah meminta izin dari pihak paderi untuk menunaikan solat di beranda luar gereja. Paderi mencadangkan agar beliau menunaikan solat di dalam gereja sahaja, bahkan pihak gereja sanggup menyediakan tempat penunaian solat.

Omar bin Al-Khattab menolak, sambil berkata;

”saya bimbang gereja ini akan menjadi masjid, jika saya menunaikan solat dalam gereja ini”

Inilah sikap keterbukaan yang wujud dalam diri Omar bin Al-Khattab. Beliau tidak pernah menjadikan perbedaan agama sebagai penghalang untuk beliau bersama-sama, berbual-bual dan bersembang dengan sesiapa sahaja.

Justeru, tidak hairanlah Omar bin Al-Khattab berjaya mengislamkan banyak jajahan dunia. Islam berkembang hebat pada zaman Omar. Islam di zaman Omar, tidak sekadar di tanah arab, malah sudah merebak ke bumi ’Ajam, farsi dan afrika.

Semuanya disebabkan ”ketidak jumudan” omar dalam menafsirkan Islam. Jika Islam ini ditafsirkan dalam bentuk yang jumud, tidak hairan, Islam susah hendak berkembang.

JUMUD DALAM STRATEGI DAKWAH

Ada sebilangan pendakwah sendiri, mereka lebih suka memerhatikan islam dari sudut fiqh sahaja, padahal disebalik hukum fiqh itu, terkandung seribu satu maqasid dan siyasah.

Apabila fiqh dirujuk, tanpa memerhatikan maqasid dan siyasah yang terkandung dalam fiqh tersebut, menyebabkan Islam ini dilihat seperti keras, dan susah untuk diterima oleh kaum lain. Tindakan sebeginilah disebut jumud dalam strategi dakwah.

Pemikiran negara hukum menyebabkan ramai yang menolak Islam. Tetapi, pemikiran negara maqasid hukum, amat mudah dijadikan ikutan.

Para da’i perlu dididik dengan pemikiran dakwah, bukan pemikiran ahli fiqh. Jika mereka sudah menjadi ahli fiqh pun, dalam masa yang sama, mereka perlu mempunyai jiwa da’i. Ahli fiqh yang tidak ada jiwa da’i, menyebabkan Islam yang indah akan kelihatan hodoh.

Apabila sebut dakwah, sudah pasti mengandungi seribu satu strategi dalam menyeru manusia kepada Islam. Sabar menerima soalan-soalan susah, memberikan jawapan bernas, huraian-huraian yang mengandungi seribu satu hikmah dan sebagainya, perlu dijadikan asas bagi memahamkan mereka tentang Islam.

Tetapi, jika tidak bersedia menerima soalan-soalan susah, di situ sudah terdapat kegagalan yang paling utama, dalam menyeru manusia kepada Islam. Jika soalan-soalan susah pun sudah tidak bersedia dihadapi, masakan berjaya memberikan jawapan bernas dan huraian-huraian yang mengandungi seribu satu hikmah.

Perbedaan agama menjadikan punca pertembungan merupakan tindakan yang terlalu bodoh. Sebaliknya, tindakan yang paling cerdik adalah, mencari titik kesamaan terlebih dahulu, dan menyatakan kemudahan itu lebih banyak berbanding perkara yang susah dalam agama.

Mahukan keadilan, bencikan kezaliman merupakan ”titik kesamaan” antara muslim dan non Muslim. Jadikannya sebagai alat utama dalam melakukan pendekatan.

Apabila sudah dekat, perkara hukum jangan dijadikan bahan utama yang dibicarakan, tetapi jadikan maqasid hukum sebagai perbicaraan penting. Nyatakan, bahawa unsur kasih sayang, keadilan sejagat, didikan dan sebagainya wujud dalam sebarang keputusan hukum didalam Islam. sebarang keputusan yang tidak berlandaskan kepada maqasid-maqasid ini, itu bukan hukum Islam.

Jika ini berjaya dijelaskan dengan penuh berhikmah, tidak hairan mereka akan menerima Islam. jika tidak memeluk Islam pun, mereka akan menyatakan islam adalah agama yang baik dan wajib diberi sokongan.

PANDAI MELIHAT EMOSI MAD’U

Emosi mad’u juga perlu diambil kira dalam dakwah. Di kala mad’u bencikan UMNO, bercakap mahu berkawan dengan UMNO adalah tindakan yang tidak cerdik.

Justeru, dikala mad’u bencikan UMNO, ucapan yang paling baik adalah ucapan yang melahirkan “sialan” terhadap UMNO. Jika tetap juga bercakap tentang persahabatan dengan UMNO, ia melahirkan kerugian dalam dakwah yang teramat sangat.

Ini merupakan lumrah manusia yang beremosi benci. Apabila mereka membenci sesuatu perkara, kebaikan yang dilakukan oleh orang yang dibenci pun, sudah dinilai sebagai keburukan. Lebih-lebih lagi, jika orang yang dibenci masih lagi kekal dengan cara hidup yang menyebabkan orang membencinya.

Tidak pandai menilai emosi mad’u, merupakan tindakan orang yang jumud dalam strategi dakwah. Justeru, orang yang jumud ini amat susah melahirkan kejayaan dalam dakwah Islamiyyah.

Jika mereka bersifat jumud, Islam yang diperjuangkan, akan kekal disekitar orang Islam sahaja, dan bersifat bertahan, tanpa wujudnya tersebar kepada orang lain. Mereka akan mempunyai pengikut yang kuat, tetapi pengikut mereka susah untuk bertambah.

Justeru, da’i yang berjaya mesti mempunyai kepandaian dan kerajinan. Kepandaian dari sudut strategi dan tidak jumud, dan kerajinan dalam usaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan dakwah.

Tanpa kedua-dua perkara ini, sampai bila-bila pun Islam akan disinonimkan dengan orang melayu. Tetapi, jika ada kedua-dua perkara ini, ‘Islam for All’ pasti akan terbukti.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Dipetik dari:http://g-82.blogspot.com


Thursday, June 17, 2010

Selamat Datang Rejab


Bulan yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang mencari kebajikan yang banyak. Sesungguhnya Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hambaNya dalam bulan ini. Barangsiapa memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan mereka dengan seribu kemuliaan. Gandingan 3 bulan (Rejab, Sya'aban dan Ramadhan) merupakan satu tempoh yang amat berkat. Setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kemuliaan Rejab kerana
Israk Mikrajnya, Sya'aban dengan malam Nisfu Sya'aban dan Ramadhan dimuliakan dengan Lalilatul Qadr. Di antara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan melipatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan ini. Di antara amalan pada waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca al-Quran dan istighfar. Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga.

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan lain. Amalan sedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dinukilkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma di tubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.

Sungguh banyak sekali keterangan ulama' mengenai ganjaran dan kebesaran Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan, tetapi sejauh mana kita mengamalkan atau mengambil peluang dari tawaran Allah ini. Kalau Kompleks Membeli-belah mengadakan tawaran istimewa atau jualan murah, kita akan keluar berduyun-duyun seolah-olah berpesta untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan. Tetapi adakah begitu respon kita apabila Allah membuka tawaran yang Maha Hebat ini. Satu tawaran yang tiada tolok bandingannya. Satu tawaran yang kekal abadi. Satu tawaran yang menjamin kebahagiaan di dua alam - dunia dan akhirat.
Realiti yang kita dapat lihat ialah tawaran Allah kurang mendapat tempat di hati kita. Hanya hati yang disinari dengan iman dapat menghargai tawaran Allah yang abadi ini. Manakala hati yang sudah terpaut dengan kebesaran dunia lebih terpikat dengan tawaran murahan yang bersifat sementara dan tidak kekal.

Di sinilah ujian untuk menilai keimanan kita terhadap perkara ghaib. Ganjaran syurga yang ditawarkan adalah perkara ghaib yang kita tidak nampak. Tetapi penuruan harga baju dari RM 90.00 ke RM 50.00 jelas dilihat. Oleh kerana kita lebih mengutamakan perkara yang nampak daripada yang ghaib, maka kita berusaha untuk memilih tawaran dunia. Tawaran Allah menjadi amat kecil sehingga tidak berdaya untuk kita laksanakan.

Jadilah fadhilat atau kelebihan Rejab yang kita baca atau dengar seolah-olah satu dongengan yang tidak bermakna dan tidak sikit pun memberi kesan di hati. Apabila sikap begini terserap di dalam hati, tidaklah mampu untuk merealisasikan sesuatu tindakan. Bahkan di dalam al-Quran, Allah menempelak golongan ini seolah-olah ada mata tetapi tidak dapat melihat, ada telinga tidak dapat mendengar dan ada otak tetapi tidak dapat memikirkan.

Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu atas apa yang kita lintaskan di hati. Allah memberi ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan memberi balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak begitu ambil pusing akan urusan ibadat, maka sudah tentu Allah tidak akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan akhirat.
Sebagai tanda Allah mengasihi seseorang, diberikan kesusahan atau bala. Bala adalah ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran kita. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan ke atas kita, Allah akan meningkatkan darjat kita. Manusia yang lemah imannya terhadap ujian Allah akan mudah menggelabah dan putus asa. Orang beriman sebenar sama sahaja sama ada diberi nikmat atau tidak. Diberi senang dia bersyukur, ditimpakan susah dia bersabar. Ada wang atau tak ada wang sama saja - kerana kesemuanya berpunca dari Allah.

Dalam konteks kelebihan Rejab ini, puasa adalah satu amalan yang benar-benar menguji kesabaran. Orang berpuasa diuji dengan susah, lapar, dahaga dan letih. Ini merupakan satu bala. Kejayaan mengatasi kesusahan ini demi menyahut seruan Allah merupakan satu peluang yang melayakkan kita menerima ganjaran yang disediakan; bak kata orang tua-tua 'bersusah-susah dulu - bersenang-senang kemudian'. Ini bermakna syarat untuk bersenang-senang di akhirat ialah dengan cara kita menempuh pelbagai kesukaran terlebih dahulu. Syurga adalah satu tempat yang amat istimewa di akhirat yang tidak akan dapat dicapai oleh mereka yang lebih mementingkan kesenangan dan hiburan di dunia ini.

Sebagai penutupnya, kita seharusnya memeriksa diri kita terlebih dahulu, sejauh mana kita memberi respons terhadap tawaran ukhrawiah? dan sejauh mana pula kita memberi respons terhadap tawaran keduniaan? Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiur atau menyelerakan? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuklah dada dan tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan halatuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.

Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha ke arah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan ketakwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal iibadat dalam bulan Sya'aban dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang berada dalam bulan yang paling mulia - Ramadhan dan akhirnya semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah. AMIN!


Wednesday, June 2, 2010

PANDUAN QUNUT NAZILAH

Qunut ertinya membaca doa kerana sesuatu bala bencana supaya kita dilindungi Allah dari bahaya.
CARA MEMBACA QUNUT NAZILAH
Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Ruku’ untuk ‘Itidal.
Doa dibaca ketika berdiri untuk I’tidal. Ada tiga cara membaca doa tersebut. Imam boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut:
1. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh.
2. Membaca doa Qunut Nazilah sahaja sepertimana yang di dalam lampiran
3. Membaca doa Qunut subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazilah .
Peringatan:
Jika para Imam tidak menghafal Qunut Nazilah yang dilampirkan, bolehlah membaca doa qunut sepertimana dalam solat subuh. Kemudian doa nazilah ini boleh dibaca selepas solat.
Imam hendaklah meberitahu para jemaah bahawa qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka meng-aminkan bersama doa tersebut. 

DOA QUNUT NAZILAH
Maksudnya 'Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.
Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur
Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.
Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

Sumber :http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=3718


Qunut nazilah dalam solat lima waktu

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 1 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan seluruh ahli, kepimpinan dan penyokong PAS serta meminta mumat Islam di seluruh dunia agar membaca Qunut Nazilah dalam tiap-tiap sembahyang lima waktu bermula hari ini.
Demikian dimaklumkan oleh setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily, sebentar tadi.
Ini, katanya bagi memohon kepada Allah agar dibinasakan rejim zionis Israel serta diberikan kekuatan kepada kumpulan sukarelawan yang sedang ditahan dan berhadapan dengan rejim zionis itu di Gaza dan seluruh dunia.


Tuesday, June 1, 2010

Doa Memohon Dicukupkan Keperluan




"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong & memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, & Dialah yang mempunyai Arasy yang besar" (Surah At-Taubah:129)

KETERANGAN & PETUA BERAMALMenurut Ibn Abi Hatim, perkataan Arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi yang dijadikan Allah (Tafsir Ibn Abi Hatim, tafsir ayat 129, Surah at-Taubah)

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari & Muslim, Nabi SAW sering berdoa menyeru Allah yang memiliki Arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal. Abu Daud & Ibn al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda' R.A. secara mauquf bahawa Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya yang membacakan ayat ini pada waktu pagi & petang, sebanyak 7 kali, maka Allah SWT akan mencukupkan semua urusan dunia & akhiratnya" (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah at-taubah)
amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Mudah-mudahan kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapatkan keselamatan daripada Allah SWT.

Sumber : Doa & Zikir Harian karangan Ustaz haji Zahazan Mohamed


Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More